Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan tiga wang kertas edisi terhad khas sempena sambutan ulang tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, wang kertas peringatan itu bersaiz 370 mm tinggi dan 220 mm lebar dan merupakan wang kertas terbesar di dunia.

Ia direka bentuk berdasarkan 'Raja Payung Kedaulatan Negara' dan mempunyai ciri-ciri keselamatan lebih tinggi.

Wang-wang kertas yang ditawarkan adalah wang kertas sekeping RM600 yang dijual pada harga RM1,700 sekeping; wang kertas bercantum 3 dalam 1 RM60 dengan nilai RM180 (harga jualan RM500) serta wang kertas sekeping RM60 (harga jualan RM120).

Ini wang kertas pertama dicetak oleh BNM menggunakan bahan substrat komposit, iaitu gabungan substrat polimer dan kertas yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih tinggi dan jangka hayat yang lebih panjang.

Wang kertas edisi terhad sempena sambutan ulang tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
"(Bahagian hadapan) Singgahsana di-Raja dikelilingi potret 15 Yang di-Pertuan Agong yang bertakhta dari tahun 1957 sehingga kini tertera pada bahagian tengah wang kertas, melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan.

“Reka bentuk hadapan diilhamkan daripada lambang bulan sabit dan bintang pecah 14 Persekutuan yang tersemat pada Tengkolok Diraja,” kata BNM dalam kenyataan tersebut, pada Khamis.

Bagaimanapun, ia hanya ditawarkan dalam jumlah yang terhad, di mana wang kertas bagi RM600 dan set wang bercantum masing-masing dicetak sebanyak 6,000 sahaja, sementara wang kertas RM60 sebanyak 60,000 keping.

“Bagi memastikan peluang yang sama rata untuk semua orang, setiap pembeli hanya boleh membeli sekeping wang kertas RM600, satu set wang kertas bercantum 3 dalam 1 RM60 dan lima keping wang kertas RM60).

“Sekiranya jumlah tempahan melebihi jumlah yang ditawarkan, tempahan akan dilaksanakan melalui undian,” kata BNM.