Transparency International (TI) menyifatkan usaha membanteras rasuah memerlukan komitmen yang tinggi.

Sehubungan itu, TI mahu kerajaan Malaysia menjalankan siasatan dengan bebas terhadap semua "tuduhan rasuah" yang dihadapi ketika ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, TI menjelaskan, perkara itu terkandung dalam satu resolusi yang dicapai delegasi daripada 100 negara ahli selepas mesyuarat Tahunan Ahli Transparency International di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, TI juga menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibenarkan beroperasi tanpa sebarang campur tangan politik.

"TI mahu kerajaan (Malaysia) menyatakan komitmen bagi proses siasatan dengan pendakwaan serta hukuman tanpa mengambil kira siapa yang terbabit.

"Saranan itu turut terpakai kepada negara lain yang berdepan krisis sama," kata kenyataan itu.

Mesyuarat itu diadakan sehari sebelum berlangsungnya Persidangan Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACC) di Putrajaya.

Perasmian persidangan yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 September itu akan dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan.