Dua buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Garden of Eid (GOE) dan Charity Right Malaysia bekerjasama dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan dapur.

Menerusi kenyataan media yang diedarkan, GOE berkata, kedua-dua NGO itu melancarkan kempen itu dalam usaha memastikan golongan tersebut tidak tercicir daripada mendapatkan bekalan barangan dapur ketika menjalani ibadah puasa ketika ini.

“Kempen dinamakan ‘Garden of Eid’s Grocery Run Giveaway’ ini telah bermula pada Isnin dan akan berakhir pada 3 Mei 2020.

“Kempen ini juga dilaksanakan melalui platform media sosial seiring dengan perkembangan teknologi yang hampir keseluruhan aktiviti kita berjalan secara dalam talian selain memudahkan orang ramai untuk menyertai kempen ini,” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, untuk menyertai kempen tersebut, orang ramai boleh mengikuti beberapa langkah mudah berikut:
  1. Ikuti laman Instagram @gardenofeid.
  2. Tinggalkan komen mengenai perihal individu atau keluarga yang berhak atau perlu menerima bantuan barangan dapur berjumlah RM500.
  3. Anda juga digalakkan untuk sertakan foto sebagai bukti dan gunakan hashtag #GOEWeeklyGiveaway.