Bantuan bulanan antara RM200 hingga RM300 kepada nelayan tidak akan diberhentikan, kata Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata, hasil perbincangan kementeriannya dan Pejabat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didapati merujuk kepada pemberian insentif sekali sahaja (one-off cash incentives) ketika pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

“Kenyataan YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak membabitkan pemberian lain dan ini termasuk Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan yang telah termaktub sebagai program-program di bawah kementerian,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Salahuddin menegaskan ESH nelayan yang telah bermula sejak Jun 2008 bertujuan untuk meringankan bebanan kos sara hidup para nelayan.

Isu bantuan bulanan kepada nelayan ini timbul apabila Dr Mahathir hari ini dilaporkan berkata kerajaan berhasrat memansuhkan bantuan bulanan antara RM200 hingga RM300 kepada 57,000 nelayan.

Manakala Salahuddin dalam sidang media semalam pula memberi jaminan kerajaan akan meneruskan bantuan yang melibatkan 57,000 nelayan itu.