Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada kesemua 3,600 penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri, yang akan dibayar sekali gus pada Disember ini.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2020 bertemakan 'Melestari Ekonomi dan Mensejahtera Rakyat' pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

"Diharapkan bantuan khas kewangan ini akan memberikan dorongan dan galakan kepada penjawat awam untuk melaksanakan tugas dengan lebih dedikasi dan cemerlang pada masa akan datang.

"Berusahalah dengan lebih gigih lagi untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Selain itu, penjawat awam negeri ini turut menerima berita baik apabila kerajaan negeri turut memperkenalkan inisiatif pinjaman sifar faedah membabitkan pinjaman kenderaan dan komputer, yang akan dilaksanakan tahun hadapan.

Aminuddin juga berkata elaun setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga ditambah RM100 sebulan, menjadikan jumlahnya RM400, yang akan diberi tahun hadapan.

"Ini menjadikan keseluruhan bayaran elaun bagi pengerusi dan setiausaha MPKK pada tahun 2020 adalah sebanyak RM2.62 juta," katanya. - BERNAMA