Sejumlah 12 Ahli Parlimen Malaysia daripada kerajaan dan pembangkang akan melawat kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh, Sabtu ini.

Rombongan akan diketuai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dengan dibantu Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Delegasi itu sempena menjayakan misi bantuan hasil inisiatif tanggungjawab sosial korporat Halal Industry Development Corporation (HDC) yang akan menghantar sebanyak 25 tan makanan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang beroperasi di kem itu.

Syarikat-syarikat multinasional seperti FN Marketing Sdn Bhd, Nestle (M) Berhad, Dutch Lady Milk Industries Berhad dan Fortune Lab Sdn Bhd merupakan antara penyumbang barang makanan bagi misi itu.

"Kita (misi) akan bertolak ke Chittagong Jumaat ini dan menuju ke khemah Cox's Bazar," kata Kiandee.

Penyampaian bantuan itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis ringkas di bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Datuk Seri Jamil Bidin.

Misi bantuan itu akan disertai Ahli Parlimen Barisan Nasional terdiri daripada Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narashid (Kota Tinggi), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai), Datuk Raime Unggi (Tenom), Datuk Ago Anak Dagang (Kanowit), Annuar Abd Manap (Sekijang) dan Hasbi Habibollah (Limbang).

Sementara wakil rakyat pembangkang akan diwakili Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Pasir Putih), Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), Datuk Kamaruddin Jaafar (PKR-Tumpat) dan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan).

Rombongan juga disertai pegawai-pegawai dari pejabat Timbalan Perdana Menteri, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan petugas media.