Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akui tidak gentar untuk memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes urus niaga tukar tanah membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Menurut Ahli Parlimen Sembrong itu, siasatan SPRM ke atas beliau bukan sahaja melibatkan isu tukar tanah, malah beberapa isu lain.

“Saya tiada apa-apa untuk berselindung. Saya buat ini (memberi kerjasama kepada SPRM) tanpa rasa takut dan gentar. Projek ‘land swap’ hanya satu isu. Banyak lagi isu disiasat yang sebenarnya bagus untuk saya.

“Ia bersihkan nama saya, harapnya, buat selama-lamanya,” katanya kepada pemberita selepas ditanya sejauh mana keyakinan beliau terhadap siasatan tersebut.

Minggu lalu, SPRM menyoal siasat Hishammuddin selama tujuh jam berhubung isu tukar tanah milik Kementerian Pertahanan.

Malah, beliau akui bersedia didakwa di mahkamah jika terbukti terbabit dalam sebarang salah laku.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yakin SPRM akan menyiasat dakwaan berkaitan secara profesional, selain memberi jaminan akan terus memberi kerjasama penuh kepada agensi terbabit.