KUALA LUMPUR:Kawasan perindustrian di Sungai Gong, Rawang yang kerap kali dikaitkan dengan pencemaran air mempunyai bilangan kilang yang banyak menyelenggara jentera berat atau pembinaan.

Menurut sumber polis ketika dihubungi Astro AWANI, pihaknya mendapati kilang-kilang di kawasan itu menggunakan operasi yang sama.

"Kilang yang terlibat dalam kes terbaru pencemaran air di Sungai Gong pada Isnin lepas sebenarnya hanya 700 meter dari kilang yang terlibat kes pencemaran yang sama pada September lepas.

“Kilang-kilang ini menjalankan modus operandi yang sama, dan menimbulkan kebimbangan sekiranya berlaku lagi pencemaran air di Sungai Gong sehingga menyebabkan gangguan bekalan air," katanya ketika dihubungi, pada Khamis.

Untuk rekod, pada 5 September lepas, polis menahan empat lelaki pemilik kilang yang terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di Lembah Klang.

Kes pencemaran terbaru pada 19 Oktober pula melibatkan penahanan lapan individu termasuk dua pengarah syarikat disyaki terlibat dalam pencemaran dan kawasan yang sama.

Kedua kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Pencemaran itu menyebabkan sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat LRA dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau berkenaan.