Dua beranak berhadapan hukuman mati di tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori di Taman Desa Makmur, Lunas di sini awal Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh merupakan bapa dan anak, Rahman A/L Muniappan, 55, dan Gobee A/L Raman, 35, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani.

Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian
Manimaran A/L Paramasivan di hadapan Taman Permainan di Taman Desa Makmur, Lunas pada jam 6.30 petang 1 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh turut tidak dibenarkan diikat jamin.

Mengikut fakta kejadian kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan dengan memukul kepala mangsa dengan menggunakan topi keledar dan sebatang kayu sehingga mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syifa Mohd Hamzah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 April untuk tarikh sebutan semula kes.