Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini di sini atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak kandung perempuannya berusia 18 tahun sejak dua tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 38 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang ketika itu berusia 16 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada November 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan tindakan sama terhadap mangsa yang ketika itu berusia 18 tahun sembilan bulan di lokasi sama kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 14 November lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa mengikut Seksyen 376a Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376b(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Muhammad Azri Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan tersebut tidak boleh dijamin dan merupakan kesalahan serius.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu kepada mahkamah dengan alasan mangsa ingin menarik balik laporan polis yang dibuat.

Muhammad Azri bagaimanapun menegaskan tiada penarikan laporan polis dibuat sehingga kini.

Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, hakim menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes.