Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anak perempuannya berusia tujuh tahun, Ahad lalu.



Tertuduh yang berusia 37 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.



Lelaki itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas anak perempuan kandungnya yang berusia tujuh tahun.



Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Kampung Kroh Hilir, Padang Rengas, kira-kira jam 8.20 malam, Ahad lalu.

Selasa lalu, pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan berkata seorang lelaki ditahan kerana disyaki menghempas anak perempuannya yang berusia tujuh tahun ke lantai rumah mereka, pada Ahad lalu.



Katanya, dalam kejadian kira-kira 8.20 malam itu, mangsa mengalami luka kecil di dahi sebelah kiri dan bengkak di kepala selepas terkena bucu meja makan.


Tertuduh yang juga seorang penganggur didakwa mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 326A kanun yang sama yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.



Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 September ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.



Bagaimanapun tertuduh tidak boleh dikenakan jaminan selepas dia disabitkan kesalahan atas pertuduhan memasukkan dadah dalam badan.



Nurul Asyifa kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula hari ini serta dikenakan pengawasan selama dua tahun.



Kedua-dua pertuduhan dikendalikan pegawai pendakwa PDRM, Inspektor Noridah Dali manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Syuhada Mohd Yusof.