Bapa kepada dua kanak-kanak yang didakwa dilarikan tiga individu mengharapkan agar kedua-dua anaknya berada dalam keadaan selamat.

Saleem Mohd Haslam berkata, dia memohon agar orang ramai membantu mengesan dua anak kesayangannya itu Raheel Khan, 6 tahun, dan Aleya Reyhana, 4 tahun.

Menceritakan lebih lanjut, dia mengetahui kejadian itu daripada ahli keluarga yang hendak mengambil dua anaknya di sebuah tadika di Petaling Jaya, kelmarin.

"Ketika kejadian saya sedang bekerja. Ahli keluarga saya yang mahu mengambil anak-anak saya pulang dari tadika, terkejut apabila dimaklumkan oleh pihak tadika bahawa mereka telah diambil oleh bekas isteri.

"Saya sukar mendapatkan pengesahan daripada bekas isteri kerana kami telah terputus hubungan antara satu sama lain lebih setahun lalu.

"Saya juga ada berhubung dengan keluarga bekas isteri selepas kejadian namun mereka menjelaskan tidak tahu menahu dengan apa yang berlaku," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Saleem mendakwa perintah untuk menjaga anak-anaknya masih belum diputuskan pihak mahkamah dan penjagaan kanak-kanak terbabit dibuat atas dasar kerelaan dia dan bekas isterinya.

"Dalam tempoh kes mahkamah ini belum ada sebarang keputusan yang dibuat mengenai hak penjagaan dan ketika penceraian berlaku bekas isteri secara sukarela menyerahkan hak penjagaan anak kepada saya," jelasnya.

Saleem berkata usaha menjejak anak-anaknya itu tidak terhenti begitu sahaja kerana semalam dia telah berhubung dengan pihak Jabatan Imigresen untuk memohon kerjasama.

Berita mengenai kehilangan dua kanak-kanak tersebut tular di laman Facebook milik seorang wanita dipercayai ibu saudara mereka.

Sementara itu, pihak pengurusan tadika terbabit yang dihubungi Astro AWANI menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.