Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis meminta orang ramai untuk membantu mencari waris dua beradik masing-masing berusia empat dan tiga tahun.

JKM dalam satu kenyataan berkata, Nur Safina Mohd Irffan dan Mohd Ikram Mohd Irffan sebelum ini dilaporkan diserahkan oleh bapa kandung mereka kepada seorang rakannya untuk dijaga.

Sejak diserahkan 1 Mei lalu, bapa mereka, Mohd Irffan Mohd Sukeri menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

Difahamkan ibu kepada adik beradik itu meninggal dunia.

Ketika ini, dua beradik itu diperintahkan diletakkan sementara dibawah jagaan sementara orang layak sesuai oleh Mahkamah Majistret Kangar pada 15 Mei lalu, sehingga siasatan selesai.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai waris dua beradik berkenaan, diminta menghubungi pelindung JKM Perlis, Nor Azura Budin di talian 04-9731970/1967 dengan segera.