Seorang anggota polis cedera akibat ditetak semasa menjalankan risikan dalam Ops Bersepadu di Kampung Bukit Capong di sini, malam tadi.

Ketua Polis Tanah Merah, DSP Suzaimi Mohammed berkata, dalam kejadian 7 malam itu, mangsa berusia 22 tahun yang bertugas di Balai Polis Gual Ipoh bersama rakan setugas dalam perjalanan menuju ke Kampung Peralla bagi membuat risikan.

"Setibanya di tepi Jalan Bukit Capong, anggota terbabit melihat lima lelaki Melayu yang disyaki sedang menjalankan urusan jual beli dadah.

''Mangsa dan rakan setugasnya berhenti untuk cuba menahan seorang pengedar dadah terbabit, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketika mangsa mahu menahan suspek, kepala mangsa tiba-tiba ditetak dengan sebilah parang dari arah belakang menyebabkan luka pada kepala, belakang badan dan jari telunjuk.

Mangsa percaya, penyerang merupakan ayah kepada suspek pengedar dadah berkenaan.

Akibat kesakitan, mangsa terpaksa melepaskan tangkapan terhadap suspek, yang juga pengedar dadah dan dia berjaya melarikan diri.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan.

Suzaimi berkata, polis kini masih memburu suspek yang berusia sekitar 50-an.

Kes disiasat di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja bagi menakut-nakutkan penjawat awam ketika menjalankan tugas.