Bapa saudara dan dua lagi individu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang remaja tingkatan empat di Krubong, Melaka pada 7 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner, Afzanizar Ahmad berkata, berdasarkan siasatan awal, ketiga-tiga suspek yang ditahan itu dikatakan memukul remaja lelaki terbabit sebagai satu pengajaran kerana mencuri wang datuknya.

Bagaimanapun, menurutnya, bapa saudara mangsa dan dua lagi suspek tidak menyangka tindakan mereka memukul remaja terbabit bertukar tragedi pembunuhan.

"Berdasarkan pengakuan lisan awal daripada ketiga-tiga suspek, mereka mengaku terlibat memukul remaja berkenaan sehingga maut.

"Siasatan awal mendapati mereka tidak berpuas hati dengan mangsa yang dipercayai telah mengambil wang datuknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan latihan amal percubaan bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini pada Jumaat.

Tambah Afzanizar, laporan media yang mendakwa dua orang awam yang membawa remaja malang itu ke hospital selepas ditinggalkan di sebuah Hentian Bas di Ayer Keroh merupakan antara tiga suspek yang ditahan pihaknya.

Sementara itu, mengulas mengenai latihan amal berkenaan, beliau berharap orang ramai tidak perlu gusar sekiranya terserempak dengan situasi berkenaan.