Dua orang bapa saudara kepada kanak-kanak perempuan yang dipercayai didera oleh bapa kandung dan ibu tirinya di Rantau Panjang pada 24 Jun lalu turut ditahan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata kedua-duanya ditahan di sekitar sini beberapa hari lepas untuk membantu siasatan kes berkenaan.

"Setakat ini kita telah menahan empat orang iaitu dua orang bapa saudara, ibu tiri dan bapa kandung mangsa," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata 21 kenyataan turut diambil sementara kertas siasatan akan dirujuk kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Kanak-kanak tersebut kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.