Saya merayu kepada Kerajaan Malaysia, tolonglah bantu bawa pulang anak perempuan saya yang kini dalam penjara di Nepal,” luah Jamaluddin Malek, 66, bapa kepada Marina, 39, yang ditahan pihak berkuasa di sana, selepas didapati bersalah memiliki dadah tiga tahun lalu.

Jamaluddin berkata, pada pertengahan 2015, anak sulungnya itu ke Nepal untuk bercuti bersama suami dan anak lelakinya yang berusia 11 tahun.

Bagaimanapun katanya, selepas beberapa hari di sana Marina meminta suami dan anaknya untuk pulang ke Malaysia terlebih dahulu atas alasan ada urusan perlu diselesaikan.

“Selang beberapa hari, saya diberitahu rakan yang anak saya ditahan di Nepal bersama dadah jenis kokain seberat 11 kilogram menyebabkan dia dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun.

“Saya terkejut sebab tak sangka dia jadi keldai dadah. Tapi, macam mana pun, dia anak saya dan saya perlu berusaha bawanya pulang,” katanya ketika ditemui malam tadi, di sini.

BACA: 21 suspek 'keldai dadah' dari Malaysia hadapi kemungkinan dipenjara seumur hidup

BACA: Biro Kebajikan UMNO akan bawa pulang tiga mangsa keldai dadah

Jamaluddin berkata, sejak anaknya itu ditahan, dia berusaha mengumpul duit untuk untuk melawatnya di sana dan terpaksa menebalkan muka meminta sumbangan kepada kerajaan negeri dan rakan-rakan.

Hanya selepas tiga tahun, barulah wang dikumpul mencukupi dan Jamaluddin akhirnya dapat ke Nepal baru-baru ini, bagi melepaskan kerinduan terhadap anaknya itu. “Saya hampir tak kenal anak saya.

Dia sudah berambut pendek dan pandai berbahasa Nepal. Dia minta maaf pada saya atas apa berlaku.

“Marina juga minta supaya saya dapat bantu pindahkan dia jalani hukuman penjara di Malaysia kerana keadaan di sana agak teruk dan saya sangat risau.

“Saya tak tahu pada siapa mahu minta tolong dan sebab itu saya merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya dapat membantu membawanya pulang ke negara ini secepat mungkin,” katanya.