Seorang bapa membuat laporan polis hari ini mendakwa anak gadisnya yang berusia 14 tahun dicabul dua remaja lelaki selepas melihat satu rakaman video menunjukkan aksi dua remaja terbabit memeluk serta meraba anaknya dalam keadaan khayal.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek, rakaman dalam telefon bimbit anaknya itu terbongkar selepas pengadu berang melihat dua lelaki menghantar anaknya pulang jam 12 tengah malam Ahad lalu.

"Marah dengan anaknya yang sering pulang lewat, bapa merampas telefon dan terlihat rakaman berkenaan," katanya mengesahkan kejadian itu kepada media hari ini.

Ng berkata, polis kini sedang mengesan dua remaja lelaki berkenaan yang berusia 16 tahun yang juga kenalan mangsa.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku di pada 26 Mei lalu di sebuah pondok di Taman Lintang Park.

"Kini usaha mengesan keberadaan dua suspek dilakukan bagi membantu siasatan," katanya.

Mangsa telah dibawa untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Kes kini diklasifikasi di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan seseorang dengan niat.

Jika disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara dan sebatan.