Seorang peniaga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah membawa lari kenalan wanita berstatus isteri orang dengan niat untuk melakukan persetubuhan pada September tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim terhadap Zahari Zainul Abdidin, 30, sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati membawa pergi seorang perempuan berusia 21 tahun yang berstatus isteri orang dengan niat melakukan persetubuhan haram.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur sekitar jam 4 pagi pada 4 September tahun lalu.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, laporan berkenaan dibuat sendiri oleh suami wanita berkenaan yang mendapati isterinya keluar dari rumah sedangkan tiada sebarang pertengkaran antara mereka.

Lelaki berusia 29 tahun itu kemudian menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada isterinya yang meminta dia memasukkan sejumlah RM10,000 ke dalam akaunnya dan mempercayai tindakan itu dibuat atas dorongan teman lelaki isterinya iaitu tertuduh.

Dia kemudian hanya memasukkan RM3,000 dan mengesan lokasi isterinya tinggal di sebuah hotel di Kuala Lumpur bersama tertuduh sebelum laporan dan serbuan dibuat oleh pihak polis.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Farhan Mirza Azme merayu hukuman paling minimum memandangkan dia hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan sudah insaf.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira tindakan tidak bermoral tertuduh yang membawa wanita berstatus isteri orang ke bilik hotel.

Katanya, hukuman yang berat juga wajar dikenakan sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah masyarakat di luar sana.

Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Muhammad Nazrin pada penghakimannya menjatuhi hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.