Barangan dalam rumah milik bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman di Kampung Tersusun Jalan Gopeng di sini, disita kerana beliau gagal melunaskan bayaran ganti rugi RM200,000 dalam satu kes saman fitnah pada tahun 2011.

Peguam kepada Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Nadzratun Naim Hammad Azizi berkata perintah sita itu dikeluarkan selepas Hamidah gagal membayar ganti rugi berkenaan kepada Khalid yang memenangi kes saman fitnah terhadap bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat itu.

Nadzratun berkata tindakan sita itu dilakukan berdasarkan writ penyitaan dan penjualan yg dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kepada bailif Mahkamah Tinggi Ipoh, katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Khalid turut diwakili peguam Sharifah Nur Asmaa' Syed Azman.

Pada 27 April lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Hamidah membayar jumlah berkenaan kepada Khalid atas penerbitan artikel yang bertajuk "Umat Islam Perlu Bersatu" di dalam blognya pada sekitar Januari 2010 yang mana dalam itu, Hamidah didakwa memuatkan gambar 'superimposed' Khalid berpakaian ala seorang paderi.

Sementara itu, Hamidah ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.