Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu menjalankan pemeriksaan sepenuhnya terhadap barangan yang dibawa masuk ke negara ini, bukan lagi secara rawak.

Beliau berkata perkara itu merupakan antara cadangan yang dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini pada Rabu, yang perlu dilaksanakan oleh kementerian, jabatan dan agensi terbabit dalam usaha mengurangkan insiden rasuah.

"Banyak lagi tindakan yang perlu diambil antaranya kita perlu tentukan bahawa barangan yang dibawa masuk melalui Kastam perlu diperiksa sepenuhnya bukan secara rawak satu, dua atau tiga sahaja," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberi tempoh selama dua tahun bermula 5 Okt lepas untuk menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU).

Beliau berkata inisiatif itu bagi memantap dan memperkukuhkan integriti dan tadbir urus korporat, selaras dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah.

"IGU diletakkan di bawah lembaga pengarah syarikat manakala pelaksanaan dan pelaporan fungsi teras dikawal selia oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Bagi memperkukuhkan tadbir urus korporat, Dr Mahathir berkata mesyuarat JKKMAR turut bersetuju supaya satu garis panduan dikeluarkan mengenai "Corporate Liabilities and Adequate Procedures" bagi semua syarikat.

Di samping itu, Dr Mahathir berkata Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) akan dilancarkan pada Januari 2019 bagi memantapkan sistem pengurusan pentadbiran kerajaan mengenai tadbir urus, integriti dan anti rasuah.

Katanya, pensijilan ISO 37001 Anti-Bribery Management System akan turut digunapakai secara menyeluruh di setiap kementerian, agensi, jabatan dan GLC yang berisiko tinggi bagi mencegah rasuah dan membina budaya integriti.

"Usaha ini akan menjadikan Malaysia negara pertama di dunia yang mendapat pensijilan ISO 37001 dalam sektor awam," katanya.

Dr Mahathir berkata bidang kuasa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman juga akan ditambah baik bagi memastikan tiada campur tangan luar.

Katanya, sejak penubuhan JKKMAR enam bulan lepas, jawatankuasa itu telah mencapai 60 inisiatif bagi menambahbaik proses dan sistem tadbir urus, integriti dan anti-rasuah.

Dr Mahathir berkata usaha-usaha itu akan dipantau oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) bagi memastikan pelaksanaannya oleh kementerian terbabit agar Malaysia dikenali kerana integritinya dan bukan kerana rasuah.

-- BERNAMA