Barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diyakini akan membawa perubahan kepada kehidupan rakyat agar dapat menjalani kehidupan lebih baik berbanding sebelum ini.

Lim Guan Eng yang dinamakan Menteri Kewangan berkata, pemilihan barisan Kabinet baharu itu dibuat berdasarkan prerogatif Dr Mahathir dan beliau menghormati keputusan yang dibuat bersandarkan pertimbangan wajar beliau sebagai Perdana Menteri baharu.

Menurut Guan Eng, beliau percaya lantikan itu dibuat berdasarkan keyakinan dan kepercayaan terhadap pemimpin yang mempunyai prestasi paling baik untuk membuat perubahan kepada negara.

"Ini adalah prerogatif PM, jadi memang pada pandangan beliau, beliau akan pilih yang dipercayai dan yakin boleh memberi prestasi yang paling baik untuk negara supaya kita dapat buat perubahan kepada kehidupan rakyat agar (mereka) boleh hidup senang berbanding dulu.

"Inilah keputusan kita, dan (kita) akan hormati keputusan beliau dan beliau ada pertimbangan mengapa seseorang dilantik. Kita ucapkan terima kasih dan ini hanya pengumuman kedua, yang muktamad, apabila bilangan Kabinet penuh dapat diisi... 27 orang, jadi ini tentu PM akan umumkan kemudian," katanya selepas merasmikan replika roket yang didermakan kerajaan China kepada Tech Dome Penang di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.

Pada Jumaat, Dr Mahathir mengumumkan senarai nama untuk jemaah menteri baharu dengan antara yang tersenarai adalah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

BACA: PM umum 9 lagi menteri Kabinet, Azmin, Maszlee Malik antara tersenarai

Senarai yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri itu telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, pada 18 Mei lalu yang mana baginda telah memperkenankan senarai itu.

Pelantikan itu adalah selari dengan Perenggan (b) Fasal (2), Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, ditanya sama ada akan berlaku pertindihan membabitkan kementeriannya dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang diberikan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Guan Eng percaya tidak akan berlaku sebarang pertindihan membabitkan dua kementerian berkenaan.