Menteri Kerja Raya, Baru Bian, memohon maaf susulan kata-kata yang diucapkan beliau berhubung pemansuhan tol di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas), Baru berkata, "terpulang kepada rakyat untuk terus bermimpi".

Namun dalam kemas kini di akaun Twitter, Baru memohon maaf dan menegaskan beliau tiada niat mengeluarkan kenyataan bernada angkuh.


"Saya sedar kenyataan itu menjadi topik perbualan dan kedengaran angkuh. Saya mohon maaf jika ada yang beranggapan sedemikian. Saya tiada niat sebegitu.

"Satu kesilapan menggunakan perkataan terpulang. Apa yang saya maksudkan ialah rakyat berhak mengharap tol dihapuskan, tetapi keadaan kewangan tidak mengizinkan," tulisnya.

Laporan Astro AWANI semalam menyebut Baru berkata terpulang kepada rakyat untuk bermimpi melihat negara ini memiliki lebuh raya tanpa tol, namun janji untuk memansuhkan tol memang sukar.