Bagaimana rasanya ketika hendak menikmati hidangan di warung, tiba-tiba saja struktur warung ranap diterbangkan angin?

Seorang pemilik warung bersama 15 pelanggan dan pekerjanya mengalami detik cemas selepas premis tersebut dipukul ribut pada Khamis.

Kejadian berlaku di Kawasan Perindustrian Gong Badak kira-kira jam 2 petang Khamis.

Menurut pemiliknya, Embak Yusof, ketika kejadian dia baru selesai memasak untuk hidangan tengah hari.

Jelasnya, secara tiba-tiba angin kuat melanda lalu menerbangkan bahagian hadapan warungnya.

“Kepala angin menerjah selama 10 minit. Habis terangkat tiang. Kita ni memang terkejutlah.

“Ada kereta pelanggan di sini. Apabila ditanya, tuan kereta itu yang beritahu tentang kepala angin yang datang,” ujarnya.

Tambahnya, kejadian terjadi ketika kesemua pelanggan sedang menunggu untuk menikmati juadah tengah hari.

Ekoran insiden itu, warung yang menjadi tempatnya mencari rezeki sejak kira-kira 30 tahun lalu musnah hampir 90 peratus.

Susulan itu, warga emas berusia 74 tahun itu terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM15,000.