Seorang penjual daging maut ditetak dengan parang ketika hendak memulakan perniagaannya Di Felda Chemplak, Labis, di sini.

Dalam kejadian 7.30 pagi tadi, mangsa Ahmad Radzi Jamaludin, 40, maut akibat kecederaan parah di leher dan tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintenden Raub Selamat berkata mangsa didatangi suspek yang menaiki motosikal dan terus menetak leher mangsa.

“Suspek terus menuju ke arah belakang mangsa dan menetak leher kiri mangsa.

“Pada masa yang sama, mangsa telah cuba menahan tetakan dengan menggunakan tangan kiri mengakibatkan leher sebelah kiri dan tangan kiri mangsa terkulai,” katanya dalam kenyataan.

Senjata yang digunakan suspek untuk menetak mangsa. - PDRM

Adik ipar mangsa yang yang berada di tempat kejadian kemudian membawa mangsa ke klinik berhampiran sebelum disahkan maut.

Tambah Raub, suspek berjaya ditahan dan turut merampas sebilah parang panjang serta motosikal dan kereta milik mangsa.

Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.