Seorang pengawal keselamatan yang baru bekerja 11 hari di sebuah sekolah kebangsaan di rawang, di sini, tergamak memecah masuk makmal sekolah terbabit dan mencuri 23 buah komputer riba berharga RM20,000.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, polis menerima makluman kejadian daripada seorang guru sekolah tersebut pada 13 Mei lalu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menahan pengawal keselamatan terbabit di sekolah terbabit.

“Hasil semakan ke atas tangkapan ini mendapati bahawa lelaki tersebut mempunyai 16 rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan juga jenayah,’ ujar Samsor.

Lanjutan daripada soal siasat ke atas suspek, polis telah berjaya membuat tangkapan seterusnya melibatkan tiga warga tempatan dan tiga warga Myanmar yang berusia antara 25 hingga 37 tahun.

“Dengan tangkapan ke atas suspek ini, IPD Gombak telah berjaya merampas semula 18 buah komputer riba yang telah dicuri,” ujar Samsor tentang tangkapan yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Selayang itu.

Katanya, pihaknya percaya komputer riba itu dijual pada harga RM100 sehingga RM200 terhadap kenalan suspek.

Siasatan juga mendapati pengawal keselamatan terbabit melakukan jenayah tersebut bersama seorang suspek warga Myanmar yang ditahan itu.

Tambahnya, suspek utama ini telah dituduh di Mahkamah Majistret Selayang, semalam (Selasa) di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek mengaku salah serta dijatuhkan hukuman 18 bulan penjara.

Sementara itu, sembilan suspek lain masih direman untuk siasatan lanjut.

Polis masih giat mengesan suspek yang masih bebas dan baki komputer yang masih hilang.