Sebuah bas ekspres yang sedang dalam perjalanan dari Segamat ke Johor Bahru terbabas ke dalam gaung selepas berlanggar dengan treler di kilometer 8, Jalan Genuang berhampiran Kampung Melayu Raya, di sijni, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Suprintendan Raub Selamat berkata, sekurang-kurangnya 20 penumpang termasuk pemandu cedera ringan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian sekitar 4.20 petang itu.

Beliau berkata, bas yang membawa 44 penumpang termasuk 40 pelajar kolej vokasional dan Universiti Teknologi Mara, UiTM Segamat itu baharu 30 minit memulakan perjalanan dari terminal bas Segamat.

Katanya, kejadian yang berlaku ketika hujan itu dipercayai berpunca daripada sebuah treler yang berada di lorong bertentangan yang cuba untuk memotong kenderaan di hadapannya, sehingga mengakibatkan bas ekspres itu hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter.

Kesemua penumpang yang cedera ringan dihantar ke Hospital Segamat untuk menerima rawatan lanjut.