Awal Januari lalu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai telah menerima sebuah bas elektrik di bawah program UNIBUS melalui perjanjian antara GO Automobile dan Mara Liner Sdn Bhd (MLSB).

Projek itu adalah usahasama di antara UTM Skudai, COMOS, Maraliner dan GO AUTO.

GO AUTO merupakan pengedar eksklusif Bas Elektrik jenama "HIGER" di ASEAN.

Menurut Pengarah Eksekutif Go Auto, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal, penyerahan sebuah bas elektrik hasil teknologi Go Automobile merupakan projek perintis bagi tujuan latihan dan penyelidikan yang mahu membangunkan ekosistem teknologi Kenderaan Elektrik (EV) untuk pasaran Malaysia serta ASEAN.

Teknologi EV menggunakan bateri sebagai sumber utama untuk menggerakkan sistem bas yang 100 peratus elektrik.

Jenis bateri yang digunakan juga adalah jenis bateri yang boleh dicas semula dan teknologi terkini iaitu "fast charge".

Bateri pada bas boleh dicas penuh dalam masa 20 minit.

Bas ini juga dijangka boleh bergerak sejauh 100 kilometer untuk sekali cas penuh. Dari segi fizikal bas ini berukuran 10 meter dan sesuai dengan pengggunaan di dalam kampus.

UTM merupakan universiti pertama di ASEAN yang bakal menggunakan bas mesra alam yang dijangka beroperasi pada 1 Februari 2018 sebelum diperluaskan ke universiti awam yang lain.

Pengunaan Bas Elektrik ini telah banyak digunakan di universiti-universiti terkenal di Amerika Syarikat.

Perkhidmatan bas elektrik ini sejajar dengan matlamat UTM ke arah keharmonian kampus lestari yang meminimumkan pelepasan gas karbon dioksida, mengurangkan kesan bunyi serta menjimatkan perbelanjaan petrol.

Ini sekali gus, UTM dapat menambah inisiatif untuk persekitaran yang lebih bersih dan sihat.

_______________________________________________________________________________________
*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Mizza Zulkafly, Shamsuddin Apli dan Siti Azhani Amran dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

**Awani Rangers UTM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)