Sebuah bas ekspres dinaiki sembilan orang termasuk seorang pemandu terbabas lalu terbalik dalam kejadian di Jalan Tuaran berhampiran stesen minyak Tebobon, di sini, pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu bas cuba mengelak seorang wanita yang dilaporkan melompat secara tiba-tiba ke tengah jalan.

Dalam kejadian jam 4.50 pagi itu, wanita berusia 20 tahun yang belum dikenal pasti identitinya maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan setelah dirempuh sebuah lori tiga tan yang berada di belakang bas ekspres berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abdul Rakman berkata siasatan awal di lokasi kejadian, wanita yang dipercayai sedang berada di pembahagi jalan tiba-tiba bertindak melompat ke tengah jalan dan dilanggar lori tersebut yang gagal mengelak mangsa.

Tambahnya, semua penumpang termasuk pemandu bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.