Tutup

Batik Melaka serlah identiti seni warisan negeri

Batik Melaka serlah identiti seni warisan negeri
Adly memberikan tanda bagus untuk pakaian bercorak batik dari Melaka yang dipamerkan di galeri selepas Pelancaran Batik Melaka sempena 'The Grand Cultural Festival Melaka River' pada Isnin. -- fotoBERNAMA
MELAKA: Batik Melaka yang dilancarkan sempena The Grand Cultural Festival Melaka River (CGF) 2019 di sini malam tadi dilihat menyerlahkan identiti seni warisan negeri ini sekali gus mampu mengangkat keunikan Melaka di mata dunia luar.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata Batik Melaka merupakan cetusan idea yang bertujuan untuk memperkaya seni warisan Melaka dan dijadikan jenama fesyen eksklusif menggunakan motif batik mempunyai identiti dan elemen-elemen Melaka.
Beliau berkata, ia juga adalah suatu inovasi terhadap cabang kesenian tempatan apabila semua elemen yang unik untuk negeri Melaka yang bersejarah ini diterjemahkan dalam bentuk lukisan corak batik.

"Motif yang digunakan dalam Batik Melaka adalah bunga kesidang, kancil, sanggul lintang, makara, bumbung rumah Melaka, kubah masjid, hiasan bumbung istana Melaka, buah Melaka, tangga rumah Melaka, roda kereta lembu, kasut manik nyonya, baju kebaya nyonya dan sulaman tebuk kebaya nyonya.
"Pengeluaran Batik Melaka ini dijangka dapat merancakkan sektor pelancongan sekali gus membantu meningkatkan kehadiran pelancong ke Melaka pada hujung minggu dan musim cuti bagi melihat Batik Melaka dengan lebih dekat lagi seterusnya mencapai sasaran Tahun Melawat Melaka 2019 dan Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Batik Melaka di Dataran Pengkalan Rama di sini yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Saraya Arbi.

Adly berkata dalam merealisasikan Batik Melaka, Institut Warisan Melaka (INSWA) dan ALG Holdings Sdn Bhd bekerjasama menghasilkan produk Batik Melaka sebagai salah satu produk pelancongan yang dapat menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa di negeri ini.

Katanya, populariti batik sebagai salah satu cabang seni sudah mencapai puncaknya di peringkat antarabangsa apabila beberapa jenama gah antarabangsa mengeluarkan koleksi batik masing-masing.

"Justeru, adalah wajar untuk Melaka menggunakan platform seni batik melalui jenama batik Melaka untuk dipopularkan sebagai suatu trend fesyen agar dapat dipasarkan ke pasaran dunia sekali gus mengangkat keunikan negeri Melaka ke peringkat antarabangsa.

"Kita berharap agar pengeluaran Batik Melaka ini dapat mengukuh, mengangkat, memelihara dan meneruskan kesinambungan peranan pengiktirafan yang telah diberikan oleh UNESCO dalam memperjuangkan warisan tidak ketara khususnya seni batik agar ia tidak pupus dan terus berkembang dan digemari di seluruh dunia," katanya.

Tambahnya, mulai tahun hadapan setiap agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini digalakkan untuk menggunakan Batik Melaka sebagai salah satu pakaian rasmi.

-- BERNAMA