Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti 12 lokasi di seluruh negara yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi bagi insiden lemas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Keselamatan Aktiviti Air Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata sehubungan itu JBPM telah diarahkan mengadakan kawalan keselamatan di kesemua kawasan terbabit sepanjang musim cuti persekolahan ini.

"Inisiatif ini diambil sebagai usaha kementerian untuk mengurangkan insiden lemas yang telah mencatatkan peningkatan dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi termasuk lima di Selangor iaitu Sungai SKC Kampung Timah di Sungai Tinggi; Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu; Sungai Gasi di Sungai Buloh, Air Terjun Sungai Sendat di Ulu Yam dan Empangan Semenyih.

Kawasan lain ialah Pantai Nipah di Bachok, Muara Tok Bali di Pasir Puteh dan Sungai Kampung Sabak, Pengkalan Chepa (Kelantan); Air Terjun Lata Berembun di Raub dan Air Terjun Chamang, Bentong (Pahang); serta Sungai Kampung Batu Payung di Tawau, Sabah dan Teluk Bahang, Batu Ferringhi di Pulau Pinang.

Menurut kenyataan itu JBPM telah merekodkan 186 insiden kejadian lemas bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan insiden di sungai dan tali air mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu sebanyak 116 kes.

Pada masa sama Majlis itu menasihati ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak yang menjalankan sebarang aktiviti air.

"Ibu bapa harus memastikan semua langkah keselamatan dititikberatkan sebagai langkah awal yang penting dalam membantu pihak kerajaan mengurangkan insiden lemas di negara ini," demikian menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA