Seorang mekanik ditahan bersama dengan sebilah parang panjang dalam satu pemeriksaan yang dilakukan polis di hadapan sebuah bank di Jalan Rohzan di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, lelaki berkenaan yang menaiki sebuah kereta dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata ketika ditemui lelaki berkenaan sedang memegang satu objek yang berbalut dengan kain berwarna merah dan di dalam kain berkenaan terdapat sebilah parang panjang berwarna perak.

"Hasil siasatan mendapati suspek membawa parang tersebut dengan niat mahu mengugut bekas isterinya yang dikatakan sering membawa lelaki lain pulang ke rumah.

"Suspek yang berusia 39 tahun itu ditahan dan polis merampas parang panjang berkenaan dan kereta yang dinaiki suspek untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu dalam kes berasingan, Nik Ros Azhan berkata seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan curi motosikal di daerah ini.

Menurutnya, lelaki berusia 37 tahun itu yang dikenali dengan nama Belalang ditahan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Seri Impian, Machang Bubok ketika menunggang motosikal disyaki kenderaan curi.

"Pemeriksaan keatas suspek menemui satu batang besi yang diasah tajam disyaki digunakan untuk mencuri motosikal.

"Nombor casis motosikal berkenaan telah diganggu dan dilaporkan hilang di kawasan Bukit Tengah di sini sebelum ini," katanya.

Tambahnya, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk bersabit kesalahan mencuri dan dadah.

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.