Kerajaan Kedah dalam pembentangan Bajet 2019 hari ini mencadangkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam lantikan negeri dan kontrak.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika membentangkan bajet memberitahu pembayaran akan dibuat pada Disember hadapan.

Bayaran khas ini sebagai menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam negeri ini selain membantu mereka menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Sebanyak 4,738 penjawat awam terdiri daripada 4,416 lantikan tetap dan 322 lantikan kontrak akan menerima manfaat daripada bayaran khas tersebut dengan peruntukan RM2.4 juta.

Bajet 2019 merupakan bajet sulung kerajaan PH Kedah selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei lepas.

Katanya, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM768 juta, antaranya RM108 juta untuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

"Anggaran perbelanjaan mengurus bagi tahun 2019 berkurang sebanyak 10.61 peratus berbanding belanjawan yang sama bagi tahun 2018. Anggaran hasil pula RM710 juta dan ini meliputi hasil cukai RM295 juta, hasil bukan cukai RM215 juta, dan terimaan bukan hasil RM200 juta," kata Mukhriz.

Di bawah peruntukan mengurus, pecahan yang diperuntukkan adalah RM248 juta bagi pembayaran emolumen RM162 juta bagi pembayaran perkhidmatan dan bekalan, RM153 juta bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM16 juta bagi pembelian aset, RM5.8 juta bagi lain-lain perbelanjaan, dan RM75 juta bagi bayaran tertanggung kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian pada Pembentangan Bajet 2019 di Dewan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri di Alor Setar, Kedah hari ini.