Kementerian Kewangan sudah menyelesaikan sebahagian kadar faedah hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, pembayaran hampir RM9 bilion yang dibuat setakat ini hanya melibatkan kadar faedah dari hutang pokok yang berjumlah RM36 bilion.

“Kita hanya sekarang ini menyelesaikan faedah kepada hutangnya, (hutang) pokok masih belum tersentuh sebanyak RM36 bilion.

"Kita akan menetapkan di dalam pembelanjaan kita untuk khidmat bayaran hutang yang kita akan buat ikut jadual supaya tidak menjejaskan reputasi negara dan kredit rating kita akan baik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Akauntan Sektor Awam Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Katanya, hutang 1MDB itu sudah menjadi jaminan kerajaan yang sudah termasuk dalam jadual penyusunan pembayaran hutang negara yang perlu dibayar dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya selepas 1MDB menjadi tanggungan kerajaan, sudah pasti ianya menjejaskan bajet pembelanjaan lain termasuk, baik pulih sekolah, perkhidmatan kesihatan di hospital, penambahbaikan infrastruktur dan sebagainya.

Beliau juga tidak dapat menyatakan bila hutang pokok itu akan dapat dibayar memandangkan banyak pertimbangan lain yang perlu dilakukan.