Seorang bayi perempuan berumur 10 bulan berjaya diselamatkan oleh ibunya dalam satu kebakaran di Kampung Kinabutan Kecil, Batu 4, Jalan Apas, Tawau.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, ibu bayi, Suraedah Mohammad Djafar, 38 tahun, terdengar bunyi bising dan suara orang meminta tolong kerana api sudah mula merebak.

Suraedah yang ketika itu hanya tinggal berdua dengan bayinya di rumah, menjadi panik dan terus mendapatkan bayinya lalu bergegas membawa bayinya keluar dari rumah.

“Saya dengar ada orang berteriak ‘tolong, tolong ada kebakaran’. Selepas itu saya bangun ambil bayi saya, ambil kad pengenalan dan terus keluar. Tinggal ini saja.

“Suami saya pergi jemput anak di tadika, kakak dia kerja, tinggal saya sahaja dengan bayi,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Dalam keadaan yang mencemaskan ketika itu, dinding rumahnya juga telah dijilat api.

“Bahagian bilik tu terbakar, saya ambil bayi sahaja lepas tu saya lari," katanya lagi.

Terdahulu, sebanyak 86 buah rumah setinggan jenis papan musnah dalam kebakaran yang membabitkan keluasan seluas 2 ekar.