Seorang bayi lelaki terkorban dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Lahad Datu - Sandakan, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang, mangsa yang baru mencecah usia 18 bulan dilaporkan parah di badan selepas dilaporkan turut tersepit.

Difahamkan, bayi yang ditempatkan di kerusi penumpang hadapan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax itu sedang dalam perjalanan menuju ke Sandakan bersama keluarganya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan ketika hujan lebat.

"Lori itu yang datang dari arah Sandakan dilaporkan berpusing lalu termasuk ke lorong bertentangan hingga menyebabkan pacuan empat roda itu terlanggar lori terbabit.

"Pada masa sama, sebuah bas ekspres yang juga datang dari arah Sandakan turut terlanggar kenderaan yang membawa bayi tersebut.

"Akibat kejadian, mangsa tersepit lalu dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Nasri berkata, pemandu lori berumur 32 tahun didapati tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan lori sudah tamat pada 2017.

"Pemandu lori juga dilaporkan tidak cedera dan punca kejadian dipercayai disebabkan pemandu lori yang menyebabkan kemalangan.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.