Bagai dirasuk syaitan, seorang ibu tergamak mengelar bayi lelakinya sendiri yang berusia lapan bulan menggunakan objek tajam hingga mati.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang di sebuah kuarters pekerja berhampiran Pulau Mantanani, dekat sini, hari ini, suspek turut mengelar tiga lagi anaknya masing-masing berusia lapan, tujuh dan lima tahun hingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian leher.

Terdahulu, difahamkan kejadian itu disedari sepasukan anggota polis kira-kira jam 1.40 petang tadi ketika melakukan rondaan di pulau peranginan tersebut sebelum terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah.

Lelaki berkenaan memaklumkan polis tindakan isterinya yang mengelar keempat-empat anak mereka di kuarters pekerja terbabit.

Hasil pemeriksaan di tempat kejadian menemukan mayat seorang bayi lelaki manakala tiga lagi kanak-kanak ditemukan terbaring dengan keadaan berlumuran darah di bahagian leher disyaki dicederakan oleh suspek.

Suspek berusia 30-an itu turut ditemukan dalam keadaan berlumuran darah selepas disyaki cuba membunuh diri namun berjaya dihalang.

Sepasukan anggota dari Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kemudiannya digegaskan ke lokasi petang tadi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi mengesahkan kejadian.

"Ya, memang berlaku kejadian tersebut, namun laporan lengkap mengenainya masih dalam siasatan.

"Seorang bayi lelaki disahkan meninggal dunia selepas dipercayai dikelar oleh suspek yang juga ibunya sendiri menggunakan objek tajam.

"Kes ini masih disiasat polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh," katanya.

Dipercayai tiga lagi anak suspek yang dilaporkan parah sudah dikejarkan ke hospital berdekatan menggunakan bot untuk menerima rawatan lanjut dan difahamkan berada dalam keadaan stabil.