Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui dalam keadaan lemah dalam mangkuk tandas sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (RR) Rawang arah utara semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata bayi seberat 2.6 kilogram itu ditemui seorang petugas pembersihan di tandas wanita ketika ingin melakukan kerja membersih kira-kira 9.30 malam.

"Bayi yang dibungkus dengan kain batik dan masih bertali pusat serta uri itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Polis masih mengesan individu yang terlibat dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.

-- BERNAMA