Bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini pada Jumaat, selepas dikatakan lemah ketika dalam jagaan sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bandar Seri Botani, di sini.

Muhammad Akif Iskandar Meor Ikram yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu dikatakan baharu sebulan dihantar ke taska berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, kira-kira jam 6 petang, pengadu yang juga ayah bayi itu, Meor Ikram Addnan, 32, menerima panggilan daripada pemilik taska berkenaan, memberitahu Muhamad Akif Iskandar tidak sedarkan diri.

Menurutnya, apabila pengadu dan isterinya sampai di taska itu kira-kira jam 6.15 petang, didapati anak mereka tidak sedarkan diri dan seluruh badannya pucat serta tiada denyutan nadi.

“Pengadu terus bergegas ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. Sampai di hospital anak pengadu dimasukkan ke Jabatan Kecemasan (Zon Kritikal) untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi disahkan telah meninggal dunia oleh doktor,” katanya pada Sabtu.

Menurut pengadu anaknya hanya mengalami selesema ketika dihantar ke taska berkenaan.

Marzuki memberitahu, bedah siasat yang dilakukan jam 9 malam tadi mendapati punca kematian disebabkan ‘Pulmonary Edema’ (paru-paru basah).

Muhammad Aakif Iskandar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Larang, di sini selepas solat zuhur tadi.