“Dia kini dalam keadaan stabil dan dalam pengawasan doktor.”

Itu penjelasan Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superitendan Arriz Sham Hamezah susulan penemuan seorang bayi lelaki yang dibuang di Kampung Pulai, Tokai, Pendang, Isnin lalu.

Bagaimanapun bayi yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar itu masih belum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya sehingga kini, siasatan masih dijalankan untuk menjejaki mereka yang bertanggungjawab membuang bayi berkenaan dan masih belum ada tangkapan dilakukan setakat ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Pada kejadian Isnin lalu, seorang suri rumah yang sedang menunggang motosikal untuk menghantar anaknya ke sekolah, menjumpai bayi lelaki masih hidup dalam keadaan bertali pusat berdekatan batas sawah di Kampung Pulai, Tokai, Pendang.

Dia pada mulanya menjangkakan objek yang bergerak itu adalah anak kucing, namun apabila diteliti, dia terkejut apabila mendapati ia adalah bayi yang masih hidup.