Bayi lapan bulan yang melecur dipercayai akibat alahan ubat dijangka sembuh sebulan dua lagi, kata Pegawai Kesihatan Bahagian Dermatologi Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Edwin Jude Gunasegaran.

Beliau berkata pihak hospital masih memantau perkembangan Muhammad Nasrullah Khairul Nizam dari semasa ke semasa.

Pada 16 Feb lalu, badan bayi ini didapati mula melecur dan bertukar menjadi kehitaman selepas beberapa hari menggunakan ubat makan dan sapu yang diberikan sebuah klinik swasta di sini ketika mendapat rawatan akibat ruam.

"Bayi ini telah dibawa ke hospital ini sebanyak dua kali dan dalam tempoh itu saya lihat keadaan kulitnya bertambah sembuh. Tetapi hasil pemeriksaan lanjut, saya lihat bayi ini mungkin ada menghidap penyakit lain jadi kita akan jalankan pemeriksaan," katanya semasa melawat bayi tersebut di rumah keluarganya di Taman Stadium di sini semalam.

Ketua Puteri UMNO bahagian Kulim-Bandar Baharu, Nor Sabrina Mohd Noor yang turut melawat Muhammad Nasrullah, berkata bayi itu akan dibawa ke sebuah hospital swasta bagi mendapat pandangan daripada doktor pakar di sana pula.

"Kita akan bawa adik Nasrullah ke Kedah Medical Centre dan akan dengar pandangan daripada doktor pakar kulit dan dari situ barulah tindakan susulan boleh dibuat.

"Saya harap inisiatif yang diambil ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan ahli keluarga bayi ini, tapi apa yang paling penting adik Nasrullah akan kembali sihat seperti dahulu," kata Nor Sabrina yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Negeri.