Bayi perempuan ditemui berhampiran Klinik Kesihatan Shah Alam

Bayi perempuan ditemui berhampiran Klinik Kesihatan Shah Alam
Dalam insiden pada awal pagi Sabtu, seorang pemandu van ternampak satu objek berbalut dengan kain merah jambu lalu memberhentikan kenderaannya untuk memeriksa. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dijumpai oleh orang awam di sebuah hentian bas berhadapan Klinik Kesihatan Seksyen 7 di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata dalam kejadian 12.45 tengah malam itu, bayi tersebut ditemui berbalut kain merah jambu oleh seorang pemandu van yang dalam perjalanan ke stor syarikat kateringnya di Seksyen 7.

"Ketika tiba di hentian bas itu, pemandu van tersebut ternampak satu objek berbalut dengan kain merah jambu lalu memberhentikan kenderaannya untuk memeriksa.

"Dia kemudian terdengar suara bayi menangis lalu merapati objek berkenaan dan mendapati seorang bayi yang masih bertali pusat dengan sedikit darah," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya pemandu van itu kemudian ,membawa bayi tersebut ke pondok polis Hospital Shah Alam bersebelahan klinik kesihatan berkenaan.

Baharudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan. -- Bernama