Bayi berusia tiga bulan antara empat orang dikesan dijangkiti virus polio di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, minggu lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata tiga lagi yang dikesan itu melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun, lapan dan 11 tahun.

Beliau berkata tiga daripadanya merupakan warga asing dan seorang warga tempatan.

"Kami kesan pada minggu lepas, saya ingin nasihatkan ibu bapa untuk beri vaksinasi polio bagi anak-anak berumur dua, tiga, lima dan 18 bulan supaya program membasmi polio ini berkesan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan pelitup hidung dan mulut serta sabun antiseptik di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab, di sini, hari ini.

Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuat tindakan awal bagi mengesan kes polio di seluruh negara.

Beliau dalam masa sama menjelaskan vaksin bagi mencegah virus polio diberikan percuma oleh kerajaan.

Sementara itu, Dr Adham ketika diminta mengulas mengenai sejauh mana pihak KKM menyediakan khidmat kaunseling sekiranya terdapat individu terutama para pelajar yang mengalami ketakutan psikososial berikutan pandemik COVID-19, beliau berkata 148 kaunselor ditempatkan di klinik kesihatan seluruh negara dan mereka boleh dirujuk bagi tujuan itu.

Menurut beliau, ketakutan psikososial terhadap COVID-19 bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi melibatkan negara lain yang terjejas akibat pandemik itu.

"Kami sentiasa bersiap sedia sekiranya ada kes-kes seperti ini ditemui untuk diatasi dengan cepat. Oleh sebab itu, bagi melicinkan kaedah pembelajaran efektif, kita mahu dalam pemikiran anak-anak di sekolah bahawa mereka perlu yakin kerana mereka adalah antara golongan yang sentiasa dijaga," katanya.

Beliau berkata KKM menetapkan prosedur operasi standard (SOP) untuk para pelajar dan pihak sekolah patuhi bagi mengekang penularan COVID-19.

-- BERNAMA