Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan lebam di bahagian muka dipercayai didera pengasuhnya dalam kejadian di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Kejadian itu disedari ibu bayi berkenaan selepas dia mengambil anaknya itu di taska pada jam 5.30 petang Isnin.

Wanita itu yang curiga dengan keadaan anaknya itu, memaklumkan perkara itu kepada suaminya sebelum membawa bayi berkenaan ke Hospital Balik Pulau untuk pemeriksaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain memaklumkan, bayi berkenaan kini ditahan di hospital untuk pemeriksaan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar lebam di pipi mangsa.

Menurutnya, bapa bayi terbabit yang berusia 42 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa anaknya ketika dibawah jagaan taska berkenaan.

Dalam keterangannya, bapa bayi berkenaan memberitahu yang dia menghantar anaknya itu ke taska terbabit sejak awal November lalu.

Jafri berkata, polis akan mengambil keterangan daripada guru serta kakitangan taska terbabit untuk membantu siasatan selain mengenal pasti punca kesan lebam di muka bayi berkenaan.

Katanya, setakat ini laporan awal dari hospital mendapati memang terdapat kesan lebam di bahagian kanan muka bayi berkenaan namun tiada pendarahan berlaku.

"Kita belum dapat mengenal pasti punca kesan lebam di muka bayi itu dan kita juga menerima laporan polis daripada pemilik taska tersebut yang menafikan guru atau stafnya mendera mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Siasatan mendapati yang premis terbabit tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.