Seorang wanita warga Ukraine hanya dibebaskan selama kira-kira 15 minit daripada pertuduhan mengedar dadah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebelum dia ditahan semula oleh Jabatan Imigresen negeri, pada petang Jumaat.

Tertuduh, Lopatkina Klavdiia, 23, cuba melarikan diri sebaik dibebaskan bagaimanapun berjaya ditahan beberapa anggota Jabatan Imigresen yang sudahpun menunggu di lobi Mahkamah.

Dia ditahan semula berikutan kesalahan memiliki visa yang sudah tamat tempoh.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan melepas dan membebaskan Klavdiia daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kokain, dua tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Klavdiia yang ketika itu mengandung sebulan didakwa mengedar dadah jenis kokain seberat 1.5 kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 11 pagi, 31 Dis 2015.

Klavdiia (tengah) cuba melarikan diri ketika pihak Jabatan Imigresen Pulau Pinang ingin menahannya di perkarangan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. - BERNAMA
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Hakim Abdul Wahab Mohamed dalam penghakimannya berkata, berlaku percanggahan maklumat berhubung kandungan dan bungkusan dadah tersebut daripada tujuh saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan berhubung kes itu.

Abdul Wahab berkata, mahkamah tidak berpuas hati dengan keterangan daripada pakar kimia, pegawai polis dan pegawai penyiasat yang masing-masing memberikan fakta bercanggah.

Sehubungan itu mahkamah memutuskan untuk melepas dan membebaskan tertuduh daripada kesalahan mengedar dadah.

Klavdiia diwakili peguam Datuk N. Sivananthan dan Low Huey Theng manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azrul Rahman.

Klavdiia yang melahirkan anak ketika berada di penjara tahun lalu akan ditahan Jabatan Imigresen negeri selama 14 hari, sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan kes.