Penilaian awal oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terhadap Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) menunjukkan kebimbangan awal terhadap beberapa terma perjanjian mempunyai asas.

Pengerusi Bantah TPPA, Mohd Nizam Mahshar berkata walaupun pihak kerajaan menyatakan tiada apa-apa yang perlu dirisaukan berhubung perjanjian tersebut, penilaian awal terhadap teks yang sudah didedahkan itu membuktikan sebaliknya.

"Ada lebih 6,000 muka surat dalam perjanjian tersebut dan setiap bahagian perlu dianalisa dengan teliti sebelum kita dapat menimbang tara kebaikan dan keburukannya," kata Nizam dalam satu sidang media Ulasan Dokumen Perjanjian TPPA di sini, petang tadi.

Tambah beliau, penilaian awal mereka menunjukkan bahagian harta intelek serta pelaburan dalam perjanjian sebagai bahagian yang paling merisaukan.

"Bagi bahagian harta intelek, ia akan memberi impak kepada kebolehcapaian rakyat kepada ubat mampu milik.

"Ini kerana wujud peruntukan dalam TPPA yang akan secara langsung, menyukarkan proses kemasukan ubat generik yang lebih murah ke dalam pasaran tempatan," jelas beliau.

Selain itu, Nizam turut menyentuh soal pelaburan di mana pelabur asing diberi peluang untuk menyaman kerajaan dan menghalang kerajaan untuk melindungi kepentingan rakyat.

BACA: TPPA boleh dipinda dengan persetujuan semua pihak

BACA: Isu undang-undang dan keinstitusian mengenai TPPA

VIDEO: Teks penuh TPPA dikeluarkan

"Ini berikutan pendefinisian pelaburan yang memperluaskan hak bagi pelabur asing serta mendedahkan kerajaan kepada saman," kata Nizam.

Jelasnya, analisis lanjutan akan diberikan dari masa ke masa sebaik sahaja bahagian-bahagian dalam TPPA diteliti.

"Kami juga berharap laporan kos analisa disiapkan supaya kebaikan dan keburukan TPPA dapat diteliti dengan lebih mendalam," katanya.