Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan bagi 25 jenis barangan asas mencukupi sepanjang Ramadan ini.

Timbalan menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sentiasa memantau bekalan barangan keperluan itu agar sentiasa berada dalam pasaran dan dijual dengan harga yang berpatutan kepada pengguna.

Selain itu jelas beliau, pihaknya telah berunding dengan kementerian berkaitan bagi memastikan bekalan sayuran dan barangan lain juga mencukupi.

“Kita bermesyuarat dengan kementerian lain termasuk juga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenai bekalan keperluan seperti ayam. Saya difahamkan, bekalan ayam kini melebihi permintaan.

“Saya rasa harga ayam kini lebih murah dari sebelum ini. Jadi rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan makanan kerana Insya-Allah akan cukup,” katanya ketika melakukan tinjauan di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, katanya penguatkuasa KPDNHEP akan terus melakukan pemantauan dan tinjauan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga.