Kapasiti bekalan air di Pulau Pinang menunjukkan penurunan mendadak apabila dua punca utama bekalan air semakin menyusut berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, Empangan Air Itam telah menurun sebanyak 31.8 peratus dalam tempoh dua bulan ini.

Empangan Air Itam membekalkan air kepada pengguna di sekitar kawasan Air Itam .

"Kadar kapasiti Empangan Air Itam jatuh 31.8 peratus sejak awal tahun ini. Kapasitinya berada pada paras 92.2 peratus pada 1 Januari berbanding 60.4 peratus pada 3 Mac.

"Pada paras ini, bekalan air mentah empangan tersebut dijangka bertahan untuk 59 hari lagi. Ia merangkumi Air Itam dan Paya Terubing, termasuk kawasan sekitar Jalan Air Itam hinnga ke Jalan Masjid Negeri," katamya pada sidang media di pejabatnya di Komtar, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu itu, Jaseni berkata, Sungai Muda, Kedah yang membekalkan air mentah utama ke negeri ini turut menurun dengan ketara apabila hanya mencatatkan bacaan 1.55 meter semalam berbanding 2.35 meter pada 1 Januari lalu.

Sungai Muda membekalkan air mentah ke kawasan Seberang Perai serta daerah Barat Daya dan Balik Pulau di kawasan pulau.

Jaseni berkata, pihak PBAPP juga telah memulakan langkah-langkah kawalan cuaca kemarau bagi memastikan bekalan air yang berterusan di Pulau Pinang.

Pihaknya juga menasihatkan pengguna di negeri ini supaya menggunakan air secara berhemah.

Katanya, penguna juga perlu memainkan peranan agar tiada catuan air dilakukan.