Bekalan air di Singapura tidak akan terjejas berikutan penutupan loji rawatan air di Johor kerana agensi air nasional republik itu, PUB telah meningkatkan pengeluaran di loji penyahmasinan dan jabatan bekalan air tempatan baqi memenuhi permintaan pengguna.

Dalam kemas kini terbaharu di laman Facebooknya, PUB berkata ia sedang memantau kualiti air mentah di Sungai Johor dan akan meneruskan kembali mengabstrak dan merawat air apabila kualiti air sesuai.

Pemberhentian operasi rawatan air di loji-loji rawatan air dari Sungai Johor berikutan pencemaran ammonia menjejaskan pembekalan air bukan sahaja di sebahagian kawasan di Johor, malah ke Singapura.

Terkini, Kerajaan Negeri Johor mengarahkan ladang ayam telur dan kilang memproses najis ayam kepada baja di Layang-Layang dekat Kluang, yang menyebabkan pencemaran ammonia di Sungai Johor, ditutup.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata arahan itu dikeluarkan selepas menerima cadangan lapan agensi berkaitan termasuk Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj), SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill), Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Tanah Daerah Kulai.

Mohamed Khaled berkata ladang ayam telur dan kilang memproses najis ayam kepada baja itu mempunyai lesen operasi tetapi ia telah melakukan pencemaran ammonia berulang.

Sejak dua hari lepas, sebanyak 360,000 akaun pengguna terjejas apabila Loji Rawatan Air (LRA) Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA Tai Hong di Kota Tinggi terpaksa ditutup ekoran Sungai Johor yang membekalkan sumber air mentah kepada ketiga-tiga LRA berkenaan dicemari ammonia.

Kejadian itu menjejaskan kira-kira dua juta pengguna di sekitar daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi.

-- BERNAMA