Bekalan air pulih 86 peratus - Syabas

Bekalan air pulih 86 peratus - Syabas
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dalam satu kenyataan turut menjelaskan bekalan air di wilayah Kuala Selangor dan Hulu Selangor sudah pulih sepenuhnya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pemulihan bekalan air di tujuh kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual di Selangor mencapai tahap 86 peratus setakat jam 6 pagi tadi.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan turut menjelaskan bekalan air di wilayah Kuala Selangor dan Hulu Selangor sudah pulih sepenuhnya.

“Wilayah lain seperti Kuala Lumpur sudah pulih sebanyak 98 peratus dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari Selasa 23 Julai.
“Manakala kadar pemulihan bekalan di Gombak pula pada 94 peratus dan ia dijangka pulih jam 12 tengah hari Isnin 22 Julai.

“Bagi wilayah Petaling dan Klang/Shah Alam, masing-masing pada tahap 90 peratus dan 76 peratus, dan ia dijangka pulih sepenuhnya Rabu 24 Julai jam 12 tengah hari,” katanya.

Kenyataan Syabas berhubung pemulihan bekalan air di tujuh kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual di Selangor. Foto: Astro AWANI


BACA: Loji terjejas pencemaran bau kembali beroperasi -Syabas



Sementara itu, pemulihan di wilayah Kuala Langat masih pada kosong peratus dan dijangka pulih sepenuhnya pada Rabu, 24 Julai.

Pada masa sama, bantuan lori-lori tangki air masih terus digerakkan ke kawasan yang masih belum pulih sepenuhnya.

Terdahulu, gangguan bekalan air tidak berjadual itu berlaku selepas pencemaran bau di kesan di Sungai Selangor pada Jumaat lalu, yang memaksa Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 serta di Rantau Panjang dihenti tugas.

BACA: Kerja penambahbaikan LRA SSP1 minggu hadapan ditangguhkan